Ismail Sabri santuni bekas wartawan hiburan
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluangkan masa menyantuni bekas wartawan hiburan, Rosli Manah, 55, yang diuji dengan masalah kesihatan di kediamannya, di Kajang Selangor.
Rosli sebelum ini telah menabur bakti berkhidmat sebagai wartawan lebih 26 tahun di Kumpulan Utusan (Melayu) Malaysia Berhad.
Ismail Sabri tiba sekitar jam 3 petang, dan meluangkan masa hampir sejam bertanya khabar Rosli bersama isterinya, Asma Ghani, dan anak Aasif Esfan, 26, dan Daniel Ashman, 18.
Anak sulung Rosli iaitu Dean Ilham, 27, tiada di rumah ketika itu kerana keluar bekerja.

Ismail Sabri secara peribadi mengenali Rosli sebagai wartawan hiburan sekitar tahun 2007, dan hubungan itu menjadi akrab selepas beliau banyak membantu menaikkan karier seni Gadaffi atau lebih dikenali Dafi AF.
Dafi merupakan anak lelaki kepada Ismail Sabri dan terkenal selepas menjadi salah seorang peserta sebuah rancangan realiti televisyen dan aktif dalam bidang hiburan.
Hubungan mereka menjadi akrab selepas Rosli banyak membantu karier Gadaffi (Dafi), yang merupakan anak Ismail Sabri dalam bidang hiburan.
Difahamkan, sejak Kumpulan Utusan ditutup pada tahun 2019, Rosli melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup keluarganya.
Turut mengiring Ismail Sabri dalam kunjungan itu ialah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik beliau, Datuk Ruhaidini Abd Kadir, Setiausaha Akhbar Asyraf Afnan Ahmad Murtadza. – Malaysiapost