Kehadiran harimau belang dikesan, Perhilitan pasang perangkap

Kehadiran harimau belang dikesan, Perhilitan pasang perangkap

PENDUDUK sekitar Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor, Ipoh dinasihatkan supaya tidak ke ladang bersendirian ketika awal pagi, selain tidak pulang ketika suasana sudah gelap, susulan penemuan jejak harimau di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff juga menggalakkan penduduk memasang atau memakai bau-bauan seperti ubat nyamuk dan unggun api kecil ketika berkebun.

“Pemilik haiwan ternakan seperti lembu dan kambing juga diminta mengurung ternakan mereka di dalam kandang yang berpagar dengan sempurna.

“Selain itu, orang ramai turut diminta memaklumkan segera kepada Perhilitan sekiranya melihat individu atau kumpulan yang meragukan seperti ingin memburu di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau menasihatkan penduduk di kawasan terbabit susulan penemuan jejak harimau belang semalam, susulan aduan penduduk berhubung kehadiran harimau di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor baru-baru ini.

Selain itu Yusoff memaklumkan, pihaknya telah memasang dua perangkap bagi menangkap haiwan pemangsa berkenaan dan sepasukan anggota dari Unit Harimau Perhilitan Perak turut melakukan rondaan serya kawalan di lokasi kejadian.

Jelas beliau, pihaknya sedang berusaha menghalau harimau berkenaan masuk semula ke Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Kinta yang bersambung dengan HSK Korbu.

“Dalam masa yang sama, kami turut memasang dua perangkap bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya harimau itu masih berlegar di kawasan Chemor.

“Kita nasihatkan orang ramai khususnya penduduk setempat untuk tidak memasuki hutan apatah lagi bersendirian selain tidak melakukan provokasi sekiranya bertembung dengan haiwan liar tersebut,” katanya.

Yusoff dalam satu kenyataan semalam mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran harimau pada 17 dan 26 Januari lalu, serta pemeriksaan yang dijalankan menemui tapak kaki harimau berkenaan. – Malaysiapost

Komen