Kerajaan guna SPRM sebagai alat politik – Hamzah
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) yang menjadikan agensi kerajaan sebagai alat untuk membunuh kredibiliti parti itu dan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan alat untuk mencapai matlamat politik mereka.
“Kami yakin rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.
“Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik. Semua ahli-ahli Bersatu dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hamzah membuat kenyataan itu merujuk kepada laporan media mengenai pembekuan akaun bank Bersatu oleh pihak SPRM hari ini.
Beliau bagaimanapun, berkata Bersatu dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan terhadap fitnah yang dilemparkan kepada parti itu.
“Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera.
“Para pemimpin dan pegawai parti Bersatu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM telah diarahkan memberi kerjasama sepenuhnya,” tegasnya.
Terdahulu, media hari ini melaporkan SPRM telah membekukan akaun-akaun milik Bersatu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Difahamkan bahawa pembekuan akaun Bersatu itu berkaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana berbilion ringgit yang dimaksudkan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi ketika Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Sebelum ini, seorang Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan ditahan oleh SPRM atas dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan penahanan lelaki berusia 42 tahun berkenaan.
Selain itu, difahamkan SPRM akan turut memanggil beberapa pemimpin kerajaan terdahulu termasuk Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz. – Malaysiapost