Keterangan Zeti kes 1MDB sangat ditunggu-tunggu – Shahrir Samad
KETERANGAN saksi utama bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak adalah sangat ditunggu-tunggu.
Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad berkata, jawatan Gabenor BNM adalah terpenting dalam urus tadbir kerajaan untuk mencegah penggubahan wang haram dan pemantauan sistem perbankan.
“Yang sangat ditunggukan!. Penerangan dalam mahkamah daripada seorang saksi yang penting,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Zeti sepatutnya memberi keterangan sebelum bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, iaitu pada 23 November tahun lalu.
Namun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan Zeti tidak dapat hadir kerana cuti sakit selama dua hari.
Beliau dikatakan mendapat cuti sakit akibat demam panas, vertigo dan muntah.
Ketika ini mahkamah masih lagi melakukan pemeriksaan balas terhadap Joanna.
Bagaimanapun, Mahkamah bersetuju menangguhkan perbicaraan 1MDB selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia pada Ahad lalu.
Difahamkan, tarikh untuk memanggil Zeti masih belum dimaklumkan sehingga kini.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. – Malaysiapost