Klasifikasi Filem 2023 berkuat kuasa hari ini
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) memperkenalkan Klasifikasi Filem 2023 yang baharu berkuat kuasa hari ini, selaras dengan keperluan semasa industri perfileman dan penyiaran dalam negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Klasifikasi 2023 menetapkan tiga kategori baharu iaitu P12, 13 dan 16 menjadikan keseluruhan lima klasifikasi.
Beliau berkata, P12 ditetapkan bagi semua penonton peringkat umur dan bimbingan ibu bapa diperlukan bagi penonton berusia di bawah 12 tahun.
Bagi kategori 13 pula, katanya, ia adalah klasifikasi penonton berusia 13 tahun ke atas manakala kategori 16 adalah bagi penonton berumur 16 tahun ke atas.
“Klasifikasi Filem 2023 itu juga masih mengekalkan dua klasifikasi sedia ada iaitu kategori U (penonton semua peringkat umur) dan 18 (penonton yang berumur 18 tahun ke atas) yang diperkenalkan sejak 2012.
“Penetapan klasifikasi itu dibuat berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) dan mengambil kira industri perfileman dan penyiaran di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, penentuan klasifikasi filem itu bertujuan memelihara kebebasan penonton dewasa untuk memilih filem yang ingin ditonton dan melindungi kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun daripada terdedah dengan kandungan filem tidak sesuai.
Menurutnya, pengkelasan itu juga dibuat bagi menggalakkan ibu bapa agar lebih bertanggungjawab dalam membimbing anak-anak memilih kandungan filem yang sesuai untuk ditonton.
Katanya, Klasifikasi Filem 2023 ini diharap memberi kesan positif dalam aspek penyeragaman dan peningkatan standard klasifikasi filem di Malaysia agar setanding dengan sistem klasifikasi atau penarafan filem yang dilaksanakan di luar negara.
“Selain itu, diharapkan Klasifikasi Filem 2023 dapat dijadikan panduan dan rujukan penerbit serta pengarah filem tempatan serta menyokong peluasan kreativiti dalam kalangan industri filem dan penyiaran,” katanya. – Malaysiapost