Lantik Nurul Izzah bahayakan pentadbiran Anwar, kata Ahli Parlimen PKR
PELANTIKAN Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri akan menyebabkan banyak pihak mengangkat ‘bendera merah’ tanda bahaya kepada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata Anwar perlu berfikir dan mempertimbangkan semula keputusan tersebut bagi mengelakkan isu itu menjadi lebih parah pada masa akan datang.
“Kalau ada yang perlu diperbetulkan, betulkanlah sebelum terlambat atau melarat-larat yang besar padah dan mudaratnya. Kita tidak mahu itu berlaku,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, rakyat sebelum ini memberi peluang apabila Anwar melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana berangapan Perdana Menteri tidak mempunyai ‘pilihan’.
Menurutnya, rakyat sekali lagi menutup mata dan bersangka baik apabila Anwar melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan kerana percaya kepada tokoh reformasi itu.
“Kesangsian tentang bahayanya jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipegang oleh orang yang sama semakin berkurangan kedengaran apabila Anwar mengambil beberapa langkah meyakinkan untuk menjaga kewangan dan ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, pemimpin PKR itu berkata kenyataannya itu bukan untuk mencemar nama baik Anwar sebagai pemimpin.
“Tulisan berterus terang ini lahir dari hasrat ingin melihat Anwar selamat dalam memimpin kerajaannya.
“Ia datang bukan dari seorang pembangkang atau pengkritik. Tulisan ini datang dari seorang sahabat dan rakan seperjuangan selama ini,” katanya. – Malaysiapost