Lim Teong Kim kini bergelar Datuk

Lim Teong Kim kini bergelar Datuk

KETUA Jurulatih pasukan Perak FC Datuk Lim Teong Kim antara tokoh yang dikurniakan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan berkenaan.

Berita gembira itu dikongsikan di laman Facebook Perak Football Club yang mengucapkan tahniah diatas kurniaan darjah kebesaran terbabit.

“Diucapkan kepada Ketua Jurulatih Perak FC Datuk Lim Teong Kim diatas pengurniaan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023,” menurut hantaran itu.

Teong Kim, 59, adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia dan mengembangkan kerjaya bola sepaknya selama semusim di Jerman Barat dengan Hertha BSC.

Lim Teong Kim juga mewakili Malaysia dari 1982 hingga 1991 dan membantu Harimau Malaya memenangi pingat emas Sukan Asia Tenggara 1989.

Beliau memulakan kerjaya jurulatihnya dengan remaja Bayern Munich pada tahun 2001 hingga 2013 dan kemudiannya kembali ke tanah airnya untuk memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2013.

Pada 2016, beliau dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari dan kini mengendalikan pasukan Perak FC. – Malaysiapost

Komen