Mangsa banjir di Johor menurun kepada 1,106

Mangsa banjir di Johor menurun kepada 1,106

SITUASI banjir di Johor semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan menjadi 1,106 mangsa daripada 305 keluarga setakat jam 2 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 1,381 mangsa daripada 379 keluarga yang direkodkan semalam.

Menurutnya, daerah Mersing antara terjejas akibat banjir sebelum ini pulih sepenuhnya setelah 147 penduduk daripada 38 keluarga pulang ke kediaman masing-masing.

Ujarnya, hanya tinggal daerah Segamat, Kota Tinggi dan Batu Pahat dengan sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.

“Sejak tengah malam tadi, seramai 275 mangsa banjir daripada 74 keluarga telah pulang ke kediaman masing-masing. Tiga PPS di Mersing yang menempatkan penduduk Kampung Sungai Padang, Kampung Orang Asli Labong dan Kampung Labong turut ditutup sebentar tadi.

“Turut ditutup, dua PPS di Kota Tinggi yang menempatkan penduduk Kampung Gembut Luar, Kampung Gembut Dalam, Kampung Sayang, Kampung Bukit Raja dan Kampung Jomis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, setakat jam 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Segamat tidak berubah dengan seramai 90 mangsa daripada 27 keluarga di tiga PPS.

Katanya, jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi berkurangan daripada 223 penduduk daripada 59 keluarga kepada 97 orang melibatkan 23 keluarga di dua PPS, manakala mangsa banjir di Batu Pahat berkurangan kepada 919 penduduk membabitkan 255 keluarga. – Malaysiapost

Komen