Menu Rahmah Mydin dipuji netizen
INISIATIF Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, dilihat mendapat sambutan.
Pasar Raya Besar Mydin yang turut menyertai inisiatif berkenaan antara yang mendapat perhatian ramai berdasarkan menu-menu makanan yang disediakan.

Berdasarkan Menu Rahmah yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Mydin, menu berkenaan boleh dinikmati di ruangan ‘Ready-To-Eat’ di Pasar Raya Besar Mydin terpilih.
“Menu Rahmah kami bawakan kepada anda setiap hari! Dengan harga RM4.90, anda akan dapat set makanan tengahari / malam yang cukup sedap dan istimewa.
“Yang paling penting, dapat berjimat!” menurut hantaran di Facebook Mydin.
Rata-rata netizen memuji menu makanan yang disediakan dan berpendapat ianya ringkas serta harga berpatutan.

“Sedapnya..Makanan ‘real’ dan ‘simple’ berpatutan macam ni la kami nak. Zaman sekarang banyak sangat makanan pelik-pelik (semua benda kena cheese + leleh), dah la tak sihat, kalori mencanak, mahal pulak,” kata Irtihaly Awwal di ruangan komen.
Pendapat sama dikongsi Muhamad Asyraf yang berpendapat menu ringkas dan murah sedemikian kebiasaannya menjadi pilihan ramai.
“Makanan gini memang sedap. Lagi-lagi nasi lauk ayam dan kuah kari tu,” katanya.
Usaha kerajaan dan pihak peniaga yang bekerjasama dalam mengurangkan beban rakyat itu turut mendapat pujian.
“Kerajaan atau dari syarikat mana-mana pun yang membantu rakyat yang memerlukan bantuan, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan amat-amat dihargai,” kata Mira Edora.
“Terima kasih, Mydin kerana menyokong agenda Malaysia Madani,” kata Ahmad Hanizam pula.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, semalam melancarkan program Menu Rahmah di Mydin Subang Jaya Hypermarket.
Mengikut perancangan, Menu Rahmah merangkumi hidangan nasi, ayam atau ikan dan sayur, namun ada pengusaha makanan lebih kreatif menghasilkan menu lain dengan harga RM5 ke bawah seperti nasi paprik, rojak, roti John, shawarma dan sebagainya.
Salahuddin berkata, semua inisiatif itu akan diselesaikan paling lewat akhir Mac ini, sebelum pelancaran Bakul Rahmah bagi golongan miskin tegar. – Malaysiapost