MITI raih FDI RM13 bilion dalam misi pelaburan ke Singapura
KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjaya meraih komitmen pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM13 bilion daripada tiga pelabur melalui misi pelaburannya ke Singapura.
Menterinya Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata tiga syarikat iaitu Sea Ltd, Kumpulan Yondr dan INSEACT, secara kolektif telah memberi komitmen untuk melabur RM13 bilion di Malaysia.
Katanya, pelaburan tersebut dijadualkan beroperasi dalam tempoh tiga tahun akan datang, katanya yang mengetuai misi itu sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura baru-baru ini.
Tengku Zafrul berkata komitmen pelaburan bernilai keseluruhan RM13 bilion itu mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Ia juga mencerminkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang telah lama terjalin dan saling menguntungkan di antara Malaysia dengan Singapura,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Justeru katanya, MITI berhasrat untuk mengembangkan dan mengukuhkan hubungan istimewa ini, terutamanya dalam membina daya tahan rantaian bekalan untuk industri masing-masing, berasaskan kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi lestari, katanya.
Sea Ltd, syarikat induk Shopee, platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan komited untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.
Syarikat itu berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan awan, pengehosan dan pemprosesan data serta gudang logistik e-dagang baharu di negara ini.
Satu lagi pelabur adalah Kumpulan Yondr, peneraju global dalam pembangunan dan pengendalian pusat data yang berpangkalan di United Kingdom. Kumpulan Yondr yang menyalurkan lebih 500MW kepada pelanggan hiperskala terkemuka dunia, telah memasuki pasaran Malaysia dengan memperoleh tanah seluas 75 ekar di Sedenak, Johor dan membangunkan kampus pusat data hiperskala dengan kapasiti IT sebanyak 300MW.
Menurut MITI, pelaksanaan projek di Johor dijangka menghasilkan sebuah kampus pusat data hiperskala terbesar di Asia Tenggara dan bakal memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem digital Malaysia.
Syarikat ketiga, INSEACT ialah syarikat protein alternatif berpangkalan di Singapura dan pengeluar protein serangga untuk makanan akuakultur. Ia berhasrat untuk menubuhkan fasiliti pengeluaran di Johor sebagai fasiliti pertamanya di Asia Tenggara. permintaan Asia yang semakin meningkat bagi sumber makanan mampan.
“InsyaAllah, saya akan teruskan usaha meraih lebih banyak pelaburan asing demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost