PH, BN masih belum dapat ‘tidur sebilik’ – Sanusi
PAKATAN Harapan (PH) dan BN dilihat masih belum dapat ‘tidur sebilik’ lagi biarpun membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menteri Besar Kedah itu berkata, kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) sehingga kini masih belum mampu menandingi gelombang Perikatan Nasional (PN).
Malah, beliau yang juga Pengerusi PN Kedah itu percaya sokongan rakyat terhadap PN dijangka diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, lapor Sinar Harian.
“Kita cuba untuk (tawan) Negeri Sembilan dan Selangor. Tidak mustahil pun dengan gelombang, momentum, kehendak rakyat sekarang ini.
“Pulau Pinang dikekalkan (oleh PH), (tapi) mereka mengaku dengan kehilangan beberapa kerusi di sana (pada PRU15). Momentum tersebut akan dikekalkan malah akan ditingkatkan sehingga PRN.
“Kita ada pendekatan. Kita ada strategi. kita sudah ada rancangan untuk kita laksanakan tapi kita tengoklah PH-BN ini boleh buat apa, nampak belum dapat tidur sebilik lagi,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa pemimpin UMno beberapa hari lalu yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu bukan sahaja memberikan kesan sokongan rakyat kepada BN tetapi juga dijangkakan turut menjejaskan PH pada PRN.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa PN mampu untuk menawan Selangor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu pada PRN akan datang. – Malaysiapost