Presiden FAM teruskan tradisi wakil Malaysia dalam Majlis FIFA
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meneruskan tradisi dengan menjadi wakil Malaysia dalam Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Berita gembira itu dikongsikan di laman Facebook rasmi FAM dalam satu hantaran.
Terdahulu Hamidin dilaporkan bertanding bagi mengisi lima kerusi Ahli Majlis FIFA pada Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 di Manama, Bahrain, hari ini.

“Sekalung tahniah buat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 yang disahkan di Kongres AFC ke-33 di Bahrain, hari ini.
“Presiden FAM itu meneruskan tradisi wakil Malaysia dalam Majlis FIFA,” menurut perkongsian di Facebook FAM.
Mendiang Lim Kee Siong menjadi individu pertama Malaysia dilantik selaku ahli jawatankuasa eksekutif FIFA pada 1960 dan tradisi itu diteruskan oleh Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah sebagai Ahli Majlis FIFA pada 1972 dan juga Naib Presiden FIFA bagi penggal 1982 hingga 1990.
Tradisi wakil Malaysia dalam Majlis FIFA diteruskan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penggal 2015 hingga 2019 sebelum melepaskannya selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost