SPRM beku akaun Bersatu

SPRM beku akaun Bersatu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun milik Bersatu, dipercayai bagi menyiasat dakwaan berhubung penyelewengan dana kerajaan ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengesahkan pembekuan akaun berkenaan.

“Saya boleh sahkan perkara itu, namun maklumat terperinci tidak dapat saya kongsi buat masa sekarang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu itu berkaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19.

Sementara itu, menurut laporan Astro AWANI, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun Bersatu.

Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut.

Jelasnya, ia juga bagi menyiasat beberapa sumbangan yang ditafsir sebagai suapan atau rasuah melibatkan parti tersebut.

“Kita membekukan bagi membolehkan siasatan dijalankan yang kita klasifikasikan wang diterima secara rasuah atau ditafsir sebagai suapan.

“Pembekuan itu dibuat sehingga siasatan selesai,” katanya.

Semalam, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyiarkan penyata akaun Bersatu bagi tahun 2020 dan 2021 yang sudah diaudit.

Tindakan itu dibuat bagi menepis dakwaan Bersatu terima RM4 bilion dari RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Akaun yang diaudit ini telah dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Ia sudah difailkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan merupakan dokumen awam. Tak boleh tipu punya,” katanya seperti dilapor media.

Beliau dilapor berkata, penyata kewangan Bersatu 2022 pula akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Mac depan .

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, sebelum ini menafikan dakwaan berlakunya penyelewengan dana RM92.5 bilion ketika pentadbirannya.

Beliau juga menegaskan bahawa akaun Bersatu adalah telus dan semua perbelanjaan direkodkan, diaudit dan dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Sebelum ini, media melaporkan seorang Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan ditahan oleh SPRM atas dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19.

Ketua Pesuruhjaya SPRM dilaporkan mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 42 tahun berhubung dakwaan penyelewengan peruntukan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 sewaktu pentadbiran kerajaan terdahulu.

Siasatan SPRM itu susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020. – Malaysiapost

Komen