Tengku Zafrul, Shahaniza tawar diri tanding MKT Umno
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam pemilihan parti itu nanti.
Bekas Menteri Kewangan itu menyifatkan langkah berkenaan sebagai usaha membina tapak politik bagi tempoh masa panjang.
“Ya, jika diberi peluang, saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan MKT Umno untuk menyumbang khidmat kepada parti,” katanya menurut laporan Astro AWANI.
Menurut Tengku Zafrul, landskap politik yang semakin dinamik membuka ruang persaingan sihat dan membina.
“Politik ini sifatnya dinamik, dan yang paling penting ialah sentuhan efektif membantu untuk memartabatkan masyarakat dan negara.
“Umno sebuah parti berpengalaman dan barisan pemimpinnya matang menempuh jatuh bangun politik, justeru saya percaya pemimpin dan akar umbi parti mahu melihat gabungan kepimpinan yang lebih dinamik dan pelbagai latar untuk pastikan proses pengukuhan parti berjalan dengan baik,” katanya.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT Umno akan diadakan pada 18 Mac ini.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dalam hantaran di Facebooknya, turut menawarkan diri bertanding jawatan sama.
Shahaniza berkata, beliau memutuskan sedemikian selepas membuat pertimbangan dan memikirkan secara mendalam mengenai hala tuju serta masa depan politik Umno.
“Setelah membuat pertimbangan dan memikirkan dengan mendalam mengenai hala tuju dan masa depan politik Umno, khususnya di Maran, saya dengan penuh tawaduk dan rendah diri membuat keputusan untuk menawarkan sekali lagi untuk menerajui Umno Bahagian Maran selaku Ketua Bahagian dan akan juga menawarkan diri bertanding MKT Umno,” katanya.
Shahaniza adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, selain berpengalaman berkhidmat sebagai Ketua Puteri Umno Pahang dan pernah menyandang jawatan Ketua Penerangan Puteri Umno. – Malaysiapost