Turunkan kadar tambang tak wajar, jejaskan pendapatan pemandu Grab
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke digesa campur tangan berhubung tindakan Grab Malaysia menurunkan kadar tambang per kilometer yang didakwa menjejaskan rakan penghantar syarikat e-hailing berkenaan.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, berkata pengurangan tambang daripada 70 sen kepada hanya 25 sen per kilometer itu akan menjejaskan pendapatan pemandu Grab.
Katanya, ini kerana kebanyakan pemandu Grab menghantar penumpang berdasarkan jarak bukan berada dalam kawasan sesak sebagaimana pemandu teksi.
“Mulai 16 Januari lepas, Grab mengeluarkan peraturan baharu yang mengurangkan kadar upah atau tambang kepada pemandu Grab dari 70 sen kepada hanya 25 sen per kilometer.
“Walaupun perubahan ini kononnya untuk membantu pemandu Grab dengan menaikkan kadar tambang per minit di waktu kesesakan dengan menaikkan kadarnya dari 20 sen ke 43 sen per minit, ia masih tidak wajar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Sany berkata, tindakan Grab itu sebenarnya penghalang besar kepada usaha Kerajaan untuk membantu rakyat berhadapan tekanan ekonomi susulan pasca Covid-19 ketika ini.
“Ini kerana, selepas hilang pekerjaan ketika negara dilanda Covid-19, ramai yang beralih menjadi pemandu Grab sebagai sumber pendapatan mereka untuk menyara keluarga,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, rungutan pemandu Grab yang tidak berpuas hati dengan kadar per kilometer yang diturunkan oleh syarikat perkhidmatan e-hailing itu.
Grab menaikkan kadar tambang per minit daripada 20 sen kepada 43 sen, sementara tambang per kilometer pula diturunkan daripada 70 sen kepada 25 sen. – Malaysiapost