67 PATI ditahan, penempatan haram ada kemudahan sekolah diserbu
JABATAN Imigresen Negeri Sembilan menahan 67 pendatang tanpa izin (PATI) Indonesia dalam satu operasi di sebuah penempatan haram di Nilai Spring, awal pagi tadi.
Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, mereka yang ditahan berusia antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.
Beliau berkata, operasi bermula jam 1.30 pagi itu turut dibantu pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurutnya, hasil risikan mendapati penempatan berkenaan memiliki kemudahan sekolah menggunakan silibus pendidikan negara jiran selain dilengkapi beberapa set generator bagi membekalkan kemudahan elektrik.
“Anggota yang terlibat dalam operasi itu perlu berjalan kaki meredah kawasan hutan sejauh 1.2 kilometer untuk sampai ke kawasan penempatan yang tidak rata dan berpaya, serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar itu.
“Semasa serbuan dilakukan, terdapat ada warga asing cuba melarikan diri serta bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ai Kiang berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, pihaknya turut menemui beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang di kediaman mereka.
“Semua tahanan terbabit ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Ai Kiang berkata, operasi itu dilaksanakan berdasar aduan dan maklumat orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat. – Malaysiapost