Anggota bomba cedera digigit beruang

Anggota bomba cedera digigit beruang

SEORANG anggota Bomba Bantuan (PBB) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan cedera di pergelangan tangan kiri selepas digigit seekor beruang di kawasan sawah di Kampung Selarong Tengah, hari ini.

Ketua BBP Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali, berkata Mohd Nizam Hamid, 27, kini dirawat di Hospital Yan akibat kecederaan serius.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran seekor beruang di kawasan itu pada jam 10.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

“Beruang itu dipercayai datang dari kawasan semak kampung berhampiran.

“Ketika dalam proses menangkap haiwan itu, Mohd Nizam dipercayai terjatuh dan beruang hitam itu menerkam serta menggigitnya sebelum melarikan diri,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Norhamidi berkata, setakat ini keadaan Mohd Nizam stabil dan sudah menjalani rawatan x-ray di Hospital Yan.

Katanya, pihaknya sedang menunggu laporan daripada doktor berhubung kecederaan yang dialaminya dan berkemungkinan dia akan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

“Ketika ini operasi masih berjalan untuk mengesan beruang yang dipercayai masih berada di situ,” katanya. – Malaysiapost

Komen