Anggota polis diingatkan jaga tingkah laku – Timbalan KPN
TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) suapaya sentiasa menjaga tingkah laku di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan.
Beliau berkata, sebagai agensi penguat kuasa utama negara adalah penting untuk pasukan itu sentiasa menjaga perilaku serta mendukung undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Sebarang kelakuan jenayah atau pelanggaran disiplin akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan Amanat Ketua Polis Negara sempena Perhimpunan Bulanan KPN di Bukit Aman, hari ini.

Sementara itu, beliau turut berkongsi kejayaan terbesar Cawangan Khas tahun lalu, melalui kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAIN) dalam membanteras Kumpulan Tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah yang berpusat di Labu dekat Nilai.

Katanya, kegiatan kumpulan berkenaan terbongkar apabila 238 ahli kumpulannya terkandas di Madinah selepas terpedaya dengan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, pemimpin kumpulan tersebut yang kononnya akan diangkat sebagai Imam Mahdi di Mekah pada hari Arafah.
“PDRM sama sekali tidak akan membiarkan gerakan ajaran sesat berkembang di negara ini, selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Cawangan Khas dari semasa ke semasa akan terus berkolaborasi bersama Jabatan Agama Islam Negeri dan agensi- berkaitan bagi membanteras sebarang ajaran atau kegiatan yang meragukan,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Facebook PDRM