Beku akaun: Jangan bermotif politik, cubaan lumpuhkan PN menjelang PRN – Muhyiddin

Beku akaun: Jangan bermotif politik, cubaan lumpuhkan PN menjelang PRN – Muhyiddin

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan secara telus susulan pembekuan akaun parti itu.

Bagaimanapun, menurutnya sekiranya tindakan itu bermotifkan politik, ia dilihat seolah-olah cuba mensabotaj Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam masa terdekat.

“Bersatu perlukan dana kempen PRN yang akan berlangsung di enam negeri, jangan pembekuan akaun Bersatu ini jadi motif sebenar nak melumpuhkan jentera Bersatu dan PN dalam PRN akan datang.

“Ada orang kata motif politik, jika langkah ini diambil tentu menghalang apa sahaja aktiviti kita dalam pilihan raya untuk membantu rakan-rakan PN dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Pemukiman Ahli Parlimen PN, hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memberi jaminan parti itu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan.

“Saya percaya SPRM akan jalankan siasatan telus, saya beri jaminan Bersatu akan beri kerjasama penuhnya untuk SPRM melengkapkan siasatan,” katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun Bersatu.

Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut, dipercayai melibatkan lebih RM300 juta. – Malaysiapost

Komen