Beku akaun: Nak wujudkan persepsi PN ada masalah integriti – Tuan Ibrahim

Beku akaun: Nak wujudkan persepsi PN ada masalah integriti – Tuan Ibrahim

TINDAKAN pembekuan akaun Bersatu dilihat seolah-olah sengaja dilakukan bagi mewujudkan persepsi bahawa parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) itu mempunyai masalah integriti.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui tindakan berkenaan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada PN, namun percaya dakwaan berlaku penyelewengan itu tidak betul.

“Ini sengaja dibuat untuk menggambarkan kepada rakyat nak bina satu persepsi PN ada masalah integriti, sasarannya bukan soal penyelewengan, itu Insya-Allah tidak berlaku.

“Tapi nak takutkan PN terutamanya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Bagi kita bila dah disiasat SPRM, tidak ada pun sebetulnya, operasi harian parti, politik mesti diteruskan, kewangan mesti digerakkan kalau akaun dibeku menyusahkan parti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pemukiman Ahli Parlimen PN, hari ini.

Jelas Tuan Ibrahim, tindakan itu juga ia disifatkan sebagai satu usaha untuk merosakkan nilai integriti yang menjadi asas PN selama ini.

“Strategi untuk PRN akan datang dan usaha merendahkan PN dari segi integriti, kestabilan.

“Ini asas kepada sokongan rakyat kepada PN. Mereka akan usaha supaya nilai integriti dirosakkan. Saya fikir itu sahaja, tidak ada isu pun sebenarnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS terbuka untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi berhubung siasatan terhadap Bersatu ketika ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun Bersatu bagi membolehkan menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut, dipercayai melibatkan lebih RM300 juta. – Malaysiapost

Komen