Bersatu hantar surat mohon SPRM batal beku akaun
BERSATU akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membatalkan pembekuan akuan parti itu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, SPRM perlu membatalkan pembekuan serta-merta jika tidak menemui sebarang bentuk penyelewengan atau salah guna kuasa ketika menyemak akaun parti itu.
“Pembatalan pembekuan akaun parti penting supaya pentadbiran parti berjalan lancar walaupun dinyatakan akaun dibekukan untuk tempoh tiga bulan.
“Sebagai parti politik yang penting, jika tiada wang bagaimana kami dapat meneruskan kerja politik terutama membayar sewa pejabat, gaji kakitangan dan perkara berkaitan pengurusan parti .
“Ini juga menjejaskan kelancaran Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi kerana Bersatu adalah sebuah parti yang penting dalam gabungan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Pemukiman Ahli Parlimen PN, hari ini.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM membekukan akaun bank Bersatu sejak dua minggu lalu bagi memudahkan siasatan berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Bagaimanapun, Azam enggan mengulas lebih lanjut.
Pada awalnya, pembekuan itu didakwa ada kaitan dengan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana rangsangan kerajaan berjumlah RM92.5 bilion ketika pandemik Covid-19.
Bagaimanapun media melaporkan, sumber SPRM mendakwa, pembekuan itu bagi menyiasat dakwaan Bersatu menerima sumbangan lebih lebih RM300 juta daripada kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan. – Malaysiapost