Biar sekolah tentukan waktu operasi

Biar sekolah tentukan waktu operasi

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi perhatian berhubung cadangan agar waktu persekolahan harian dimulakan setengah jam lebih lewat.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA Kebangsaan, Ng Sing Phing, berkata antara yang harus dipertimbangkan adalah memberikan autonomi kepada pihak sekolah bagi menentukan waktu persekolahan masing-masing.

Menurutnya, ia kerana setiap sekolah beroperasi di kawasan yang berbeza dengan latar belakang pelajar yang berlainan.

“Ibu bapa yang makan gaji mungkin lebih suka waktu persekolahan 7.30 pagi kerana masih mempunyai masa untuk masuk pejabat pada jam 8 pagi.

“Bagi yang tidak bekerja pejabat, waktu persekolahan pada 8 pagi mungkin lebih digemari apabila perjalanan harian boleh diatur dengan lebih fleksibel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sing Phing berkata, bagi Sabah dan Sarawak pula yang menerima siang hari lebih awal mungkin boleh memulakan persekolahan seawal jam 7 pagi.

“Justeru KPM harus mempertimbang untuk memberikan autonomi kepada pihak sekolah bagi menentukan waktu persekolahan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, di samping itu, sukatan pendidikan sedia ada juga perlu diperbaiki bagi menggalakkan penglibatan pelajar serta interaksi di antara mereka.

“Ini memandangkan pengajaran semata-mata bukan sahaja menjadikan kelas kurang menarik tetapi juga membebankan guru-guru,” katanya.

Terdahulu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad dalam satu kenyataan mencadangkan kerajaan menetapkan sesi persekolahan di Semenanjung bermula 8 pagi.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan guru, ibu bapa dan anak mempunyai masa mencukupi bagi mengatur jadual perjalanan masing-masing.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan seharusnya mempunyai rasa belas kasihan dan empati kepada golongan itu yang terpaksa bangun seawal 4.30 pagi bagi mengejar masa pembukaan sekolah 7.30 pagi.

Isu itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dengan ada pihak memohon perkara terbabit diperhalusi jika mahu ia dilaksanakan kerana kebanyakan sekolah di negara ini membabitkan dua sesi iaitu sebelah pagi dan petang. – Malaysiapost

Komen