“Boleh siasat saya lagi” – Isham Jalil

“Boleh siasat saya lagi” – Isham Jalil

ISHAM Jalil bersedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kutipan dana bagi kempen pilihan raya dengan menggunakan akaun peribadinya.

Ketua Penerangan Umno itu, mengakui membuat kutipan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, namun menegaskan akaun berkenaan diuruskan jawatankuasa kewangan yang dianggotai lima individu.

Menurutnya, akaun yang dibuka khusus untuk dana politik dan bukan untuk kegunaan lain itu turut dipantau Bank Negara serta Bank Rakyat.

“Butir-butir kutipan sumbangan ini dan semua rekod perbelanjaannya telahpun saya serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam laporan penyata kewangan pada bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akaun berkenaan dibuka dan kutipan dana itu adalah sebagai contoh dan ‘template’ untuk cadangan Akta Pendanaan Politik yang diperjuangkannya selama ini.

“Akta ini penting supaya politik di Malaysia ini lebih telus dan bersih dan supaya anak-anak muda yang mempunyai niat yang baik serta aspirasi untuk berkhidmat dalam politik di negara ini boleh meraih dana dan berjuang walaupun mereka tidak kaya.

“Jika tidak, politik di Malaysia ini mungkin akan hanya dikuasai oleh orang-orang kaya atau orang-orang korup atau kedua-duanya sekali. Ini tidak baik,” katanya.

Isham juga mendakwa, sejak BN kalah PRU-14 sehingga kini, beliau merasakan ada saja yang menyiasat akaunnya dan ingin kaitkan dengan pelbagai skandal terutama semasa Bersatu jadi kerajaan selama 22 bulan dan 17 bulan dahulu.

“Walaupun demikian, Alhamdulillah semua akaun saya adalah teratur dan tiada masalah. Boleh siasat saya lagi kali ini, tiada masalah.

“Namun yang sebenarnya menjadi masalah ialah apabila seseorang pemimpin politik atau sesuatu parti politik menggunakan dana daripada sumber-sumber haram dan rasuah berbillion ringgit untuk berkempen dan merasuah pengundi.

“Dan apabila ditanya berkenaan rasuah pengundi yang disuruh bersumpah untuk mengundi PAS dengan bayaran wang ringgit itu mereka keluarkan “dalil” bahawa bayaran itu kononnya sedekah,” katanya.

Isham mendakwa, hanya Perikatan Nasional (PN) sahaja yang ‘bermewah-mewah’ dan perlu jawab dari mana duit itu diperoleh yang besar kemungkinannya daripada sumber haram dan rasuah projek serta salah guna dana kerajaan.

Terdahulu Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan pandangan wajar supaya akaun Isham terlebih dahulu disiasat sebelum SPRM menyiasat akaun partinya.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, ia kerana Isham yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Shah Alam pada PRU-15 lalu melancarkan kempen derma pilihan raya menggunakan akaun peribadi. – Malaysiapost

Komen