Dana PRU: Sebelum tuduh PAS, siasat dulu Isham Jalil – Ahmad Fadhli
KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS tidak mempunyai halangan serta mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun parti itu.
Namun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berpandangan adalah wajar supaya Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil terlebih dahulu disiasat SPRM kerana didakwa melancarkan kempen derma pilihan raya menggunakan akaun peribadinya.
“Boleh, dialu-alukan untuk siasatan (SPRM). Cumanya, apa kata kita mulakan (siasatan) dengan orang yang lancarkan derma pilihanraya tapi menggunakan akaun peribadi?, katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, Isham yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menggesa SPRM menyiasat akaun PAS.
Katanya, sisatan sama perlu dilakukan terutama membabitkan sumber dana parti itu, selepas SPRM bertindak membekukan akaun Bersatu.
Menurut Isham, SPRM juga sewajarnya menyiasat PAS sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Ahmad Fadhli turut mengutuk kenyataan Isham selain mendakwa pemimpin Umno itu sudah hilang rasa malu.
“Lebih teruk lagi, orang jenis ini pula yg beria-ria menyuruh siasat akaun parti lain. Atau pada hakikatnya, sudah tiada air muka lagi untuk dijaga?,” katanya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan suruhanjaya itu membekukan beberapa akaun milik Bersatu.
Menurutnya, akaun terbabit dibekukan bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds). – Malaysiapost