Jeti Pulau Pababag akan dibina semula – Ahmad Zahid

Jeti Pulau Pababag akan dibina semula – Ahmad Zahid

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menyerahkan Surat Arahan Pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna bagi pembinaan semula jambatan dan jeti Pulau Pababag, Semporna yang runtuh pada Isnin lalu.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata turut diluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi tujuan berkenaan.

“Pada 30 Januari lalu, ketika saya berada di Sabah bagi meninjau keadaan banjir di daerah Pitas, saya telah dimaklumkan oleh Ketua Umno Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan, tentang kejadian jambatan dan jeti kayu yang telah roboh di Pulau Pababag.

“Saya difahamkan pada ketika itu, terdapat 35 murid sekolah dan dua guru dari kampung sekitar yang baru tiba di jeti untuk ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pababag sekitar jam 6.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, susulan itu pihaknya mengarahkan kementerian untuk segera berhubung dengan Pejabat Daerah Semporna bagi menyiasat dan mengambil tindakan segera.

Katanya, ia kerana laluan tersebut adalah laluan biasa bagi urusan pergerakan harian penduduk termasuk menghantar anak-anak ke sekolah serta Tadika Kemas, Pulau Pababag

“Kementerian telah menyerahkan Surat Arahan Pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna bagi pembinaan semula jambatan dan jeti Pulau Pababag dengan peruntukan yang disalurkan adalah sebanyak RM400,000.

“Saya berharap pembinaan jambatan dan jeti ini dapat dilaksanakan segera bagi membantu seramai sekurang-kurangnya 151 orang murid sekolah dan 35 orang murid Tadika Kemas ke sekolah serta penduduk kampung yang terjejas,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin lalu media melaporkan tindakan pantas beberapa guru berjaya menyelamatkan lebih 20 murid SK Pulau Pababag, daripada lemas apabila jeti di Kampung Pulau Pababag, yang dilalui runtuh.

Rakaman video memaparkan murid yang lengkap berpakaian sekolah sedang terjatuh ke dalam laut turut tular di media sosial.

Beberapa guru yang turut berada di jeti berkenaan kemudian dilihat mengambil tindakan pantas dengan terjun bagi menyelamatkan murid terbabit. – Malaysiapost

Komen