Kerajaan tidak tekan badan siasatan, kehakiman – Anwar

Kerajaan tidak tekan badan siasatan, kehakiman – Anwar

PENTADBIRAN Kerajaan Perpaduan tidak menekan badan siasatan penguatkuasaan dan kehakiman dalam mana-mana siasatan membabitkan individu atau parti politik tertentu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan dibawah pentadbirannya badan siasatan penguatkuasaan dan badan kehakiman adalah kekal bebas.

“Kita tidak mengulangi sikap menekan seperti yang dilakukan dahulu dan Kerajaan menganggap pihak yang disiasat saat ini usah gelojoh membuat tohmahan.

“Ini kerana badan siasatan bertindak atas laporan yang dibuat setelah mendapati projek-projek Kerajaan yang menelan belanja melampau tinggi serta tanpa proses tender.

“Siasatan yang dilakukan juga tidak tertakluk pada pandangan saya serta pihak Eksekutif,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Beliau memaklumkan, pendirian itu ditegaskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang berpendapat ia perlu dijelaskan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

Anwar berkata, adalah tidak bertanggungjawab bagi tokoh-tokoh parti politik pembangkang yang dalam proses siasatan itu membuat tohmahan tentang campur tangan dari pihak Kerajaan Perpaduan.

“Yang berlaku ada dua hal..pertama ada laporan yang dibuat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang penggunaan wang oleh parti Bersatu.

“Kedua, saya menjalankan tugas saya di Kementerian Kewangan dan melihat projek-projek yang menelan belanja terlalu tinggi tanpa proses tender. Kalau proses tender itu tidak dilakukan, tetapi kos tidak melambung ia tidak jadi isu,” katanya.

Menurutnya, antara projek yang dikesan adalah projek Jana Wibawa, iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan Perdana Menteri ketika itu.

“Dan juga projek tebatan banjir..kita dapati kos itu terlalu tinggi, maka saya dedahkan maklumat dari Kementerian Kewangan.

“Apa yang dilakukan SPRM berhubung perkara itu tidak tertakluk kepada pandangan saya untuk melakukan siasatan. Yang didapati dalam akaun parti (Bersatu) mencecah lebih RM300 juta. Jadi tentulah ia harus dijelaskan.

“Pimpinan parti (Bersatu) sekiranya mereka benar bersih seperti mana yang diceritakan, mereka kena jelaskan kepada badan penyiasat mengapa dalam masa singkat boleh mengumpul wang sebegitu banyak..dari sumber mana dan kepada siapa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, proses yang dilakukan adalah membabitkan siasatan SPRM dan kemudian dibawa kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya

“Tetapi yang nak ditegaskan oleh kami dalam pimpinan Kerajaan Perpaduan adalah arahan siasatan untuk semua, tidak terkecuali parti kerajaan atau parti pembangkang,” katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan akaun Bersatu dibekukan agensi itu lebih dua minggu lalu.

Susulan itu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan semalam, mendakwa kerajaan menggunakan SPRM sebagai alat politik.

Terdahulu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan pentadbirannya sebelum ini dan Bersatu akan mendapati ia palsu dan tanpa merit. – Malaysiapost

Komen