Maqis rampas 3,546 karton ais krim dari China

Maqis rampas 3,546 karton ais krim dari China

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 3,546 karton ais krim yang dibawa masuk dari China di Pelabuhan Klang Barat, Sabtu lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, produk hasil tenusu seberat 12,800 kilogram bernilai kira-kira RM26,000 itu dikesan dibawa masuk menggunakan sebuah kontena.

Menurutnya, syarikat yang membawa masuk produk berkenaan gagal mengemukakan dokumen Permit Import yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Maqis sentiasa menekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengutamakan keperluan dan suara rakyat adalah amat penting dalam menyahut cabaran keterjaminan makanan negara.

“Dalam hal ini, pendekatan secara ‘bottom-up’ dan ‘top-down’ akan terus dilaksanakan kerajaan secara strategik,” katanya.

Justeru, Maqis menasihati semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan ditetapkan kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini. – Malaysiapost

Kredit foto: HM

Komen