Negeri Sembilan bubar DUN 1 Jun
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada 1 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Jun depan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan datang.
Katanya, terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh PRN di Negeri Sembilan dan lima lagi negeri yang lain.
“Pembubaran DUN pada tarikh berkenaan adalah paling sesuai (untuk diadakan PRN) kerana akhir Mei adalah tempoh akhir (DUN Negeri Sembilan), jadi selepas Mei atau Jun pun tiada masalah.
“Mungkin Negeri Sembilan lebih awal seminggu dua bubar DUN itu adalah sesuai, bermakna kita akan bersama dengan negeri lain mengadakan pilihan raya.
“Walaupun PAS ada buat kenyataan bahawa mereka akan tetapkan sendiri tarikh PRN, ini bermaksud lebih kurang iaitu sekitar Jun, kemudian terpulang kepada SPR hendak tetapkan tarikh pilihan raya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau ditemui media pada Majlis Tahun Baharu Cina 2023 Bersama Sunrise MCL Land di Pejabat Sunrise MCL Land, Forest Height, di Senawang hari ini
Semalam media melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan DUN Kedah akan dibubarkan selepas 18 Jun depan bagi membolehkan PRN diadakan.
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR, berkata PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.
Beliau juga berkata, setakat ini pihaknya tiada dihubungi oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri dari lima negeri lain yang belum membubarkan DUN iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, bagi penetapan tarikh PRN.
“Setakat ini belum ada lagi perbincangan rasmi dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri. Kita akan hadir mesyuarat Menteri-Menteri Besar pada hujung bulan ini.
“Jadi, kita akan bincang secara tidak formal mengenai perkara ini pada mesyuarat itu nanti apabila kita semua bertemu,” katanya. – Malaysiapost