Nik Nasarudin dilantik KSU KPM

Nik Nasarudin dilantik KSU KPM

DATUK Nik Nasarudin Mohd. Zawawi dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) yang baharu berkuatkuasa, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Nik Nasarudin, 57, berkelulusan Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.

Beliau berkata, Nik Nasarudin sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun, bermula sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (Guru) yang disandang dari 1990 sebelum dilantik ke Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 16 Disember 1996.

“Syabas dan tahniah atas pelantikan Nik Nasarudin sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan berkuat kuasa pada 2 Februari 2023.

“Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang terutama membabitkan aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan serta pentadbiran dan pembangunan modal insan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata, Nik Nasarudin pernah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Katanya, beliau yakin Nik Nasarudin mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan misi Kementerian berkenaan untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Malaysia Madani, dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya. – Malaysiapost

Komen