Nurul Izzah layak, tidak wajar persoal haknya – Khairuddin
BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempertahankan pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang kini dipilih menyertai Majlis Ulama Umno, berkata pelantikan Nurul Izzah tidak wajar dipersoalkan kerana beliau terbukti mempunyai pengalaman dan kelulusan akademik.
Menurutnya, selain memiliki kelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sarjana Hubungan Antarabangsa, Nurul Izzah pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal sejak 2008 serta Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Katanya, rakyat boleh menilai merit dan kelayakan yang dimiliki Nurul Izzah untuk memegang apa-apa jawatan di peringkat kerajaan menerusi prestasi beliau di Parlimen dan latar belakang akademik yang dimilikinya.
“Justeru, saya tidak melihat sebarang kewajaran bagi menidakkan hak beliau untuk dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
“Apatah lagi apabila jawatan tersebut disandang tanpa gaji. Ia menidakkan konflik kepentingan kebendaan yang mahu dilimpahkan kepada Nurul Izzah sebagai anak Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Pelantikan Nurul Izzah untuk jawatan tersebut baru-baru ini telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak khususnya daripada pembangkang yang mengecamnya sebagai amalan nepotisme.
Bagaimanapun, Anwar tetap mempertahankan pelantikan Nurul Izzah dengan menyatakan bahawa anaknya itu mempunyai kelayakan untuk menyandang jawatan tersebut.
Mohd Khairuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus berpandangan, isu nepotisme hanya timbul sekiranya mereka yang ada hubungan kekeluargaan dilantik walaupun tiada merit dan kelayakan.
Beliau memberi contoh pada zaman Nabi Muhammad SAW yang juga ahli keluarga baginda seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid yang diberi peranan penting dalam memimpin ummah semasa solat dan peperangan.
Menurutnya. kepercayaan yang diberikan kepada mereka itu adalah berdasarkan ilmu, kewarakan, keimanan, kelayakan dan kesetiaan dalam mempertahankan Rasulullah SAW dan bukannya kerana hubungan kekeluargaan.
“Justeru, sebarang pelantikan jawatan yang berasas merit dan kelayakan meski pun dalam kalangan yang ada hubungan keluarga bukanlah nepotisme yang salah dari sudut moral,” katanya.