Pelantikan Nurul Izzah hakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan

Pelantikan Nurul Izzah hakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan

TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah dalam menguruskan perolehan tender kerajaan secara tidak langsung menyebabkan keyakinan rakyat semakin terhakis.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahaya, berkata pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi dan kewangan Perdana Menteri yang diberikan tanggungjawab sebagai pengurus tender kerajaan juga akan menyebabkan berlaku konflik kepentingan.

Justeru katanya, beliau berharap kerajaan khususnya Perdana Menteri dapat memelihara integriti sebagai sebuah kerajaan sebagaimana yang telah dibangunkan di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

“Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menjelaskan bahawa beliau sendiri tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk urus tadbir perolehan di bawah KASA. Hal yang demikian dilaksanakan demi menjunjung nilai integriti dalam berkerajaan.

“Sewajarnya aspek pengurusan tender kerajaan diberikan kepada sesebuah jawatankuasa tanpa penglibatan pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

“Ia bagi memelihara integriti sesebuah kerajaan apatah lagi aspek perolehan kerajaan sememangnya suatu ‘lubuk rasuah’ berdasarkan data daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahmad, ironinya seseorang yang sering melaungkan slogan reformasi dan Kerajaan Madani mengambil sikap tidak serius untuk mendukung prinsip integriti dalam pentadbiran.

Katanya, tindakan Anwar melantik anak sendiri dalam menguruskan perolehan secara tidak langsung menyebabkan keyakinan rakyat semakin terhakis.

“Satu demi satu langkah Perdana Menteri dan kerajaan pada hari ini tidak seiring dengan slogan yang sering dilaungkan sebelumnya. Malah, negara semakin mengundur ke belakang dengan cara politik lapuk.

“Oleh itu, saya menasihatkan Anwar supaya mempertimbangkan semula posisi pengurusan tender kerajaan tersebut. Usah tambah kerapuhan dalam kerajaan yang sedia rapuh.

“Jadilah sebuah kerajaan dalam erti kata yang sebenar, jika anda memahami apa yang saya maksudkan,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun, pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendapat kritikan banyak pihak termasuk pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak berintergriti. – Malaysiapost

Komen