Penganggur ditahan cabul kakak ipar, ugut abang kandung
SEORANG lelaki dicekup polis selepas dipercayai mencabul kakak iparnya serta mengugut mengelar leher abang kandungnya dalam kejadian di kediamannya di Kampung Tasik Permai, Ampang awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata wanita berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu mendakwa ketika berada di rumah kira-kira jam 1 pagi, dia dicabul oleh suspek berusia 32 tahun yang juga penganggur.
Beliau berkata, menurut mangsa sebelum kejadian berlaku pertengkaran antara suami dengan adik iparnya itu yang dipercayai mabuk.
“Suspek kemudian terus meraba mangsa serta membuka seluar dan mengarahkannya melakukan seks oral.
“Mangsa hanya mendiamkan diri, namun suspek memukulnya di kepala dan turut membuat ugutan jenayah terhadap suaminya iaitu abang kandung suspek dengan meletakkan serpihan kaca di leher abangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis yang menerima maklumat mengenai kejadian telah ke lokasi kejadian dan membuat tangkapan terhadap suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul yang boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua seksaan itu,” katanya.
Mohamad Farouk berkata, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan tidak sopan dengan menunjukkan kemaluan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
“Polis masih menyemak rekod kesalahan atau jenayah lampau suspek,” katanya. – Malaysiapost