Penuntut UiTM maut, rakan parah motosikal dirempuh van

Penuntut UiTM maut, rakan parah motosikal dirempuh van

SEORANG penuntut Universiti Teknolgi MARA (UiTM) maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah van dalam kejadian di Simpang Empat Paya Jemerli, Kulim petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, kejadian berlaku kira-kira 5.20 petang ketika motosikal dinaiki mereka dipercayai keluar dari satu simpang secara mengejut.

Beliau berkata, mereka kemudiannya terus dirempuh van dari arah Baling menghala Bukit Mertajam yang tidak sempat mengelak motosikal mangsa.

“Pelanggaran menyebabkan van itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang lelaki berusia 30-an,” katanya menurut Bernama.

Mohd Redzuan berkata, salah seorang mangsa maut di lokasi kejadian manakala rakannya yang parah dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan.

“Seorang lagi penunggang motosikal yang mengalami kecederaan ringan telah diberi rawatan pesakit luar di hospital yang sama manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

Komen