Penyertaan KJ dalam PH berisiko, tak tambah sokongan – MK Ibrahim
KETIKA banyak parti ‘berlumba-lumba’ menawarkan tempat kepada bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada parti, pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan pula berpandangan sebaliknya.
Pengerusinya, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman percaya sekiranya Khairy menyertai PH ia bukan sahaja tidak banyak membantu menambah sokongan, malah meletakkan gabungan itu dalam keadaan berbahaya.
Menurutnya, PH perlu mengambil kira perasaan dan sentimen rakan dari parti gabungan itu sekiranya mahu menerima Khairy menyertai PH.
Selain itu, beliau percaya sentimen rakan dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN) sendiri serta ahli akar umbi PH juga perlu diambil kira sama ada mereka mahu atau tidak Khairy menyertai PH.
“Secara peribadi, saya melihat kemasukan KJ (Khairy) sekiranya diterima pimpinan PH tidak akan menambah banyak sokongan sebaliknya meletakkan PH dalam bahaya.
“KJ bukanlah ‘party man’ (orang parti), tetapi beliau seorang populis dan sudah pasti kemasukannya sekadar untuk mencari populariti,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Khairy sebelum ini mengaku sudah dihubungi Perikatan Nasional (PN) serta PH berhubung kemungkinan untuk beliau menyertai gabungan berkenaan selepas dipecat daripada Umno pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, beliau enggan membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya mahu mengambil masa selama beberapa minggu atau hingga dua tiga bulan sebelum menentukan sama ada memasuki parti sedia ada, menubuhkan parti baharu atau berehat daripada politik untuk seketika.
MK Ibrahim bagaimanapun mengakui jika Khairy menyertai PN khususnya di Negeri Sembilan, PH dan BN mungkin berdepan saingan sengit untuk mengekalkan kerajaan ini.
Justeru, beliau berpendapat PH perlu bersedia mengatur tindakan dan strategi. – Malaysiapost