PM kongsikan logo Malaysia Madani di media sosial

PM kongsikan logo Malaysia Madani di media sosial

LOGO Malaysia Madani, konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikongsikan di media sosial hari ini.

Perdana Menteri dalam perkongsian di laman Facebook dan Twitternya, menyatakan Malaysia Madani diusulkannya sebagai jalan ke depan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang rencam kaum dan budaya.

“Kita pastinya berusaha agar nilai-nilai ini digerak serta dilaksana sebaiknya,” katanya dalam hantaran di Facebook yang turut dimuatnaik infografik logo Malaysia Madani.

Berdasarkan infografik logo yang diasaskan dengan Jalur Gemilang serta warnanya iaitu biru, merah, kuning dan putih, serta mempunyai bentuk seperti tapak tangan.

Lima jari dengan jalur merah putih yang ditonjolkan dalam logo itu merupakan simbolisme kepada Rukun Negara, asas ideologi Malaysia.

Bulatan berwarna biru menandakan kebulatan, muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, manakala bulan sabit adalah simbol agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Bintang berbucu 14 pula melambangkan perpaduan dalam kalangan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Warna biru, melambangkan kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan; merah (keberanian, jati diri dan keazaman); kuning (nilai tradisi, kebudayaan dan kearifan tempatan; manakala putih (keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni).

Malaysia Madani adalah panduan dan ikhtiar secara bersepadu serta holistik sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.
Kerangka Malaysia Madani menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan. – Malaysiapost

Komen