PN akan jadi pembangkang terbaik, pastikan semak imbang kerajaan
PERIKATAN Nasional (PN) sedia memberikan yang terbaik bagi menyemak dan imbang Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata agihan tugasan portfolio Kementerian akan dimuktamadkan hari ini dalam program Pemukiman Ahli Parlimen PN.
“Agihan tugasan ini untuk ‘shadow’ Menteri-Menteri kerajaan campuran dalam Dewan Rakyat tidak lama lagi,” katanya menerusi Facebook.
Dalam hantaran sama, Ahli Parlimen Machang itu juga mengajak rakyat memberikan soalan yang akan dibawa ke Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen PN.
“Suara dan harapan rakyat adalah keutamaan kami. Jangan malu, jangan segan, ayuh majukan soalan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Pemukiman Ahli Parlimen PN mendapat taklimat daripada bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Dr Radzi Jidin berkenaan lanskap ekonomi dunia dan negara.
“Ahli Parlimen perlu hadam isu-isu makro dan mikro dalam hal ekonomi dan semua perkara yang menyentuh kehidupan rakyat dan negara.
“Perbincangan antara kami dibuat untuk penyususan strategi demi membela dan membantu rakyat,” katanya.
Terdahulu, seramai 74 Ahli Parlimen PN mengadakan permukiman selama dua hari, di ibu negara, bermula petang semalam.
Permukiman itu selaras dengan komitmen PN, sebagai pembangkang yang kredibel, matang, efektif dan berintegriti tinggi bagi menjuarai suara hati rakyat. – Malaysiapost