Saluran sinki jiran meletup, 2 beradik melecur
DUA beradik melecur selepas terkena cecair dipercayai asid serbuk soda yang berpunca dari letupan saluran paip sinki rumah di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur teruk pada bahagian badan, muka dan kepala, manakala adik perempuannya yang berusia tujuh tahun melecur di bahagian paha kanan.
Ketika letupan berlaku, mangsa difahamkan sedang menggoreng telur di dapur, sebelum saluran sinki rumah jirannya di tingkat atas meletup dan cecair dipercayai daripada serbuk soda mengenai mangsa.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata kejadian itu disedari ibu kanak-kanak terbabit ketika berada di kediaman mereka di tingkat satu selepas terdengar letupan di bahagian dapur.
Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan awal.
“Kanak-kanak lelaki itu mengalami melecur tahap tiga di dahi, kepala, bahu, badan, lengan dan paha manakala adiknya pula melecur di paha kanan.
“Kedua-dua mangsa itu dilaporkan stabil namun, kanak-kanak lelaki itu masih dalam rawatan di wad kecemasan (ICU) Kebakaran Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku selepas jiran mangsa di tingkat atas menggunakan serbuk soda yang dibeli secara dalam talian bernilai RM50 untuk membersihkan saluran paip sinki rumahnya yang tersumbat.
Katanya, siasatan masih dijalankan termasuk merekod keterangan ibu mangsa dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957. – Malaysiapost