Segera laksana reform institusi – MCA

Segera laksana reform institusi – MCA

KERAJAAN digesa supaya segera meminda perlembagaan atau akta yang berkaitan bagi meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kuasa Parlimen.

Jurucakap Pemuda MCA, Lee Yee Yuan, berkata langkah itu bagi memastikan agensi penguatkuasaan berkenaan benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pemimpin serta parti politik.

Menurutnya, MCA turut berpendapat sekiranya perkara tersebut dilaksanakan, proses siasatan terutamanya kes-kes yang dikaitkan dengan parti pemerintah, dapat dilaksanakan dengan telus tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

“Mungkin ini adalah masa terbaik untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa kerajaan di bawah kepimpinannya akan melalui proses reformasi seperti yang dilaungkan ketika menjadi pembangkang suatu ketika dahulu.

“Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pernah berkata kesediaan partinya untuk memperkasakan dan ‘membebaskan’ SPRM sebagai fokus utama sekiranya mereka menjadi kerajaan.

“Beliau juga menyatakan akan memberi peruntukan yang besar dan agensi itu diberi sepenuh ruang untuk bertindak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yee Yuan, berkata SPRM yang ketika ini terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri seharusnya mampu untuk ‘berdiri sendiri’ tanpa perlu pengaruh atau campur tangan dari pihak lain.

“Sekiranya SPRM diletakkan di bawah Parlimen, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah prerogatif Parlimen, dan bukan lagi perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Kita tidak mahu kesilapan lalu berulang kembali apabila PH melantik ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati ramai pihak,” katanya.

Beliau berkata, tindakan berkenaan seterusnya mewujudkan persepsi bahawa SPRM dipengaruhi oleh parti politik tertentu. – Malaysiapost

Komen