Speaker Dewan Rakyat lantik anak sebagai pegawai Parlimen? – Chegu Bard
PEMIMPIN Bersatu, Badrul Hisham Shahrin mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul melantik anaknya sebagai pegawai Parlimen.
Badrul Hisham mendakwa Johari dipercayai melantik anaknya bernama Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas Tugas Khas (PTTK) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Katanya, lebih mencurigakan lagi apabila sebelum ini dalam direktori Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat jawatan PTTK 1 tertera nama ‘Mohammed Iqbal bin Johari’ namun selepas kes lantikan Nurul Izzah menjadi isu, nama pegawai berkenaan hanya diletak sebagai ‘Mohamed Iqbal’.
“Speaker Dewan rakyat lantik anak sendiri sebagai pegawai dalam Parlimen? Kerajaan Madani sembang kari ini betul.
“Terbaharu mohon Datuk Johari Abdul menjawab. Adakah benar Pegawai Tugas Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat anak kamu?
“Bukan apa, dalam direktori Pejabat YDP Dewan Rakyat PTTK 1 tertera nama ‘Mohammed Iqbal bin Johari’ tapi lepas kes Nurul Izzah kantoi nama Mohammed Iqbal (kini diletakkan) tanpa ‘bin Johari’,” katanya dalam hantaran itu.
Badrul Hisham turut mendakwa, beliau menerima keluhan daripada pegawai kerajaan di Parlimen mengenai perangai beberapa ahli politik kerajaan Malaysia cercakap ‘lain depan lain belakang’.
“Nak rahsia apa? Kenapa dalam direktori semua (nama kakitangan) ada bin tapi satu nama tak ada bin, nak tipu siapa?Adakah lepas ni akan kata tak dapat gaji juga,” katanya.
Disember lalu, Johari yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.
Beliau yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh 147 undi berbanding 74 undi diterima bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – Malaysiapost