SPRM cari 90 penerima ‘sedekah’ PRU15

SPRM cari 90 penerima ‘sedekah’ PRU15

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjejaki 90 individu bagi membantu siasatan berhubung isu pemberian wang untuk mengundi sebuah parti politik di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua 90 individu tersebut sedang dikenal pasti untuk dirakamkan keterangan mereka.

“Siasatan SPRM perlu sedikit masa untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu.

“Individu yang terbabit dalam isu penerimaan wang tunai tersebut diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat,” katanya.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai kepada orang ramai ketika kempen PRU15 sedang berlangsung.

Ia susulan tular satu klip video yang menunjukkan beberapa individu menghulurkan wang tunai kepada orang ramai di sebuah daerah di Terengganu sewaktu tempoh berkempen sedang berjalan.

Azam berkata, berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, menjadi satu kesalahan untuk memberi sebarang bantuan kewangan sepanjang kempen pilihan raya kerana ia boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk rasuah.

“Susulan itu, SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut setelah menerima aduan semasa dan selepas pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan mengagihkan wang tunai kepada pengundi pada PRU15.

Menurut Abdul Hadi, pengagihan wang oleh individu tertentu kepada pengundi sewaktu PRU15 lalu adalah sebagai sedekah. – Malaysiapost

Komen