Treler masuk parit: LUAS kawal tumpahan minyak, hidraulik
SEBUAH treler terperosok dalam parit menyebabkan berlaku tumpahan diesel dan hidraulik di kilometer (km) 371.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di susur keluar Slim River, Perak tengah malam tadi.
EXCO Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya menerima maklumat kejadian daripada pihak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

“Berdasarkan semakan jajaran, bahan cemar tersebut akan memasuki kawasan negeri Selangor (Sungai Bernam) melalui Sungai Trolak di negeri Perak dan berpotensi menyebabkan gangguan kepada LRA (Loji Rawatan Air) Bernam River Headworks (BRH).
“LRA itu berada sekitar 22.7 KM di hilir lokasi kemalangan dengan tempoh masa aliran untuk sampai sekitar 15 jam,” katanya kenyataan, hari ini.

Loy Sian berkata, LUAS yang menerima maklumat itu kemudiannya segera ke lokasi bagi bersama-sama membantu pihak berwajib melaksanakan tindakan mitigasi.
Jelas beliau, semakan mendapati terdapat empat daripada lapan tong minyak hidraulik dibawa oleh treler tersebut telah pecah dan diikuti tumpahan minyak diesel daripada treler berkenaan.
Katanya, tindakan pencegahan awal telah dilaksanakan oleh pihak PLUS dengan meletakkan habuk kayu di permukaan jalan tumpahan bagi penyerapan minyak. – Malaysiapost
Kredit foto: Facebook LUAS