Tun M, Muhyiddin diarah fail pembelaan kes saman projek HSR
TUN Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin antara lima pihak diarah memfailkan pernyataan pembelaan berhubung saman difailkan individu dikenali Mohd Hatta Sanuri, susulan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Selain dua bekas Perdana Menteri, tiga lagi adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan, masing-masing diarah memfailkan pernyataan itu selewat-lewatnya 28 Februari ini.
Peguam bela Mohd Hatta, Mohaji Selamat, mengesahkan arahan itu dibuat Mahkamah Tinggi ketika pengurusan kes terbabit di hadapan Timbalan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, pagi tadi, lapor Berita Harian.
“Mahkamah juga memutuskan 28 Mac ini bagi Mohd Hatta sebagai plaintif memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan, selain 30 Mac untuk pengurusan kes seterusnya,” katanya.
Mohd Hatta, 47, memfailkan saman menerusi Tetuan Mohaji, Hazury & Ismail pada 30 Disember lalu, dengan menamakan pihak terbabit selaku defendan pertama hingga kelima atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan cuai berhubung penamatan projek HSR.
Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.
Sehubungan itu, Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos ditanggung bagi pembangunan projek HSR serta berkaitan pelanjutan penggantungannya.
Projek itu melibatkan pembangunan laluan HSR sepanjang 350 kilometer (KM), yang mampu memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit sahaja. – Malaysiapost