Tun M, Muhyiddin diarah failkan pembelaan kes saman berkaitan HSR

Tun M, Muhyiddin diarah failkan pembelaan kes saman berkaitan HSR

TUN Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga pihak lain diarah memfailkan pernyataan pembelaan berkaitan saman membabitkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Kedua-dua bekas Perdana Menteri dan pihak yang berkenaan diarah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan pernyataan itu selewat-lewatnya 28 Februari ini.

Saman difailkan oleh Mohd Hatta Sanuri, 47, pada 30 Disember 2022 terhadap kelima-lima defendan berhubung dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan cuai berhubung penamatan projek HSR

Selain Dr Mahathir dan Muhyiddin, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan kerajaan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Peguam Mohaji Selamat yang mewakili Mohd Hatta selaku plaintif berkata, mahkamah juga mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 28 Mac ini.

“Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 30 Mac ini,” katanya kepada wakil media selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar secara dalam talian hari ini.

Mohd Hatta memfailkan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dan kecewa dengan pembaziran yang telah dilakukan oleh kesemua defendan.

Dalam tuntutannya, Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh didakwa melakukan kecuaian dan menyalahguna jawatan awam apabila menangguhkan projek HSR, hingga pampasan hampir RM46 juta perlu dibayar kepada Singapura.

Plaintif juga mendakwa Muhyiddin, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan turut cuai dan menyalahguna jawatan awam apabila menamatkan projek berkenaan.

Tindakan itu menyebabkan kerajaan dan semua rakyat Malaysia termasuk plaintif selaku pembayar cukai perlu mengeluarkan wang RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan projek berkenaan.

Dakwa plaintif, Mustapa yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek itu telah melakukan kecuaian ketika menangguhkan projek tersebut sehingga menyebabkan wang negara perlu dikeluarkan sebanyak RM46 juta.

Mohd Hatta mendakwa Ka Siong juga cuai semasa menguruskan projek itu yang merupakan pengangkutan awam bagi rakyat Malaysia sehingga mendatangkan kesusahan dan kerugian berjumlah RM46 juta dan RM320,270,519.24.

Dakwanya, tindakan itu sekali gus menafikan hak rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer selepas gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia perlu membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya. – Malaysiapost

Komen