Akaun beku: Muhyiddin perlu belajar daripada Umno – Puad
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menasihati Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk belajar daripada pengalaman Umno berhubung isu pembekuan akaun parti.
Beliau berkata, kesengsaraan yang dilalui Bersatu itu sudah pun terlebih dahulu dirasai Umno selepas bertahun-tahun akaun parti itu dibekukan.
“Muhyiddin mohon supaya SPRM batalkan pembekuan akaun parti Bersatu. Alasannya parti itu akan sukar membayar gaji staf.
“Ini Muhyiddin kena belajar dengan Umno. Sengsaranya Umno bila akaun kena beku. Bertahun akaun Umno kena beku. Baru dua hari lepas rayuan membekukan akaun Umno ditarik balik,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Puad secara sinis mendakwa tidak mungkin bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai duit lain selain daripada akaun Bersatu.
“Mustahil Muhyiddin tidak ada duit lain. Tan Sri Annuar Musa dakwa dalam bilik hotel Muhyiddin di Sabah duit berlonggok,” katanya.
Semalam, Bersatu menghantar surat kepada SPRM bagi membatalkan pembekuan akuan parti itu.
Muhyiddin berkata, surat itu juga meminta pembatalan pembekuan dibuat sebaik siasatan SPRM ke atas akaun parti diselesaikan.
“Sebagai parti politik yang penting, jika tiada wang bagaimana kami dapat meneruskan kerja politik terutama membayar sewa pejabat, gaji kakitangan dan perkara berkaitan pengurusan parti .
“Ini juga menjejaskan kelancaran Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi kerana Bersatu adalah sebuah parti yang penting dalam gabungan itu,” katanya. – Malaysiapost