Bersatu kena jelaskan kumpul kekayaan ketika Covid-19 – Anwar
BERSATU pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana parti itu boleh memiliki wang yang banyak sehingga 300 juta.
Perdana Menteri berkata, Bersatu perlu memperjelas kepada rakyat bagaimana parti itu mengumpul kekayaan ketika negara diperintah dalam kawalan darurat dua tahun lalu.
“Apa juga alasan, kamu (pemimpin Bersatu) kena jelaskan kepada rakyat, bagaimana parti politik boleh melakukannya.
“Bagaimana dalam keadaan Covid-19, ketika orang tiada kerja, tiada wang, parti boleh kumpul ratus-ratus juta,” katanya kepada media di Port Dickson, hari ini.
Anwar turut membidas Bersatu yang mendakwa tindakan membeku akaun parti itu adalah tindakan kerajaan untuk memberi tekanan kepada parti pembangkang.
“Kemudian, guna isu (memberi) tekanan… jawablah, betul atau tidak ada RM300 juta dalam akaun?
“Jika betul ada, dari mana? Mengapa boleh kumpul begitu banyak wang untuk parti dalam keadaan orang tiada kerja dan susah, bantuan terbatas dan projek dibatalkan,” katanya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan telah membekukan akaun Bersatu.
Azam berkata, akaun milik Bersatu dibekukan untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. – Malaysiapost