Beruang takut punca agresif

Beruang takut punca agresif

TINDAKAN orang ramai berkumpul dan membuat bising antara punca kes seekor beruang menyerang seterusnya menyebabkan seorang anggota bomba cedera.

Perkara itu dinyatakan Persatuan Haiwan Malaysia menerusi hantaran di Facebooknya susulan kes serangan beruangan ke atas anggota bomba di di Kampung Selarong Tengah dekat Yan, semalam.

“Kesilapan terbesar dalam kes ini apabila orang ramai berkerumun dan membuat bising berdekatan hidupan liar.

“Seolah-olah cubaan memprovokasi Beruang. Menjadikan Beruang panik, ketakutan dan cuba mencari tempat selamat dengan segera.

“Akhirnya Beruang menjadi agresif sebagai langkah defensif diri sendiri,” katanya hari ini.

Tambah persatuan itu, hal kerja menyelamat seperti itu memerlukan kepakaran khusus terlatih.

“Orang ramai dan juga badan penyelamat umum yang tiada kepakaran khusus mengendali hidupan liar dinasihatkan menunggu pihak Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia tiba memandangkan kelengkapan dan kepakaran dimiliki mereka dalam menangani krisis konflik hidupan liar.

“Semoga beruang ini dilindungi dan tidak mengalami kecederaan, traumatik dan kematian akibat ketiadaan ilmu orang ramai yang mengerumun Beruang ini di lokasi.

“Di sini bermulanya kasih sayang yang terbiar dan berubahnya nasib yang tidak terbela,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan seorang anggota Bomba Bantuan (PBB) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan cedera di pergelangan tangan kiri selepas digigit seekor beruang di kawasan sawah.

Ketua BBP Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali, berkata Mohd Nizam Hamid, 27, kini dirawat di Hospital Yan akibat kecederaan serius.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran seekor beruang di kawasan itu pada jam 10.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

“Beruang itu dipercayai datang dari kawasan semak kampung berhampiran.

“Ketika dalam proses menangkap haiwan itu, Mohd Nizam dipercayai terjatuh dan beruang hitam itu menerkam serta menggigitnya sebelum melarikan diri,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Berita Harian

Komen