Duta Sweden ke Malaysia setuju perangi Islamophobia

Duta Sweden ke Malaysia setuju perangi Islamophobia

DUTA Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom bersetuju untuk meneruskan usaha bersama Malaysia bagi memerangi Islamophobia dan apa jua bentuk diskriminasi lain. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, DrJoachim juga bersetuju meneroka pelbagai cara untuk menangani Islamophobia menerusi kerjasama secara toleransi, aman dan damai.

“Hari ini menerima kunjungan TYT Duta Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom susulan perbuatan membakar naskah Al-Quran di Stockholm yang dilakukan oleh seorang aktivis sayap kanan. 

“Selain itu, perbincangan adalah bertumpu kepada usaha serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi menolak sikap tidak bertoleransi, konflik berkaitan agama dan Islamophobia,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Dr Mohd Na’im turut mengulangi ketegasan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Duta Sweden itu bahawa Malaysia mengutuk dan mengecam perbuatan Islamophobia dan menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil langkah serta tindakan sewajarnya terhadap pelaku perbuatan keji itu. 

“Serta mengambil usaha yang serius untuk membendung Islamofobia di negara itu. 

“Tindakan ini penting bagi memastikan perkara seumpamanya tidak berulang. Kebebasan bersuara bukan bermakna kebebasan untuk menghina prinsip dan kehormatan sesebuah agama,” katanya. -Malaysiapost

Komen