GLIC, GLC berperanan realisasi Malaysia Madani – PM
SYARIKAT pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta memainkan peranan menyumbang dan merealisasikan pembangunan Malaysia Madani, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia antara perkara yang diberi penekanan ketika mengadakan perbincangan dengan GLIC berhubung Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan, semalam.
“Belanjawan 2023 yang akan dibentang hujung bulan ini memerlukan semua pihak berganding bahu dalam memacu pembaharuan ke arah Malaysia Madani.
“GLIC dan GLC mempunyai peranan khusus menyokong agenda pembangunan negara, terutamanya dalam memangkin pelaburan bagi sektor pertumbuhan baharu, menyokong pembangunan modal insan terutamanya penggajian graduan baharu dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Anwar berkata, selaras dengan elemen mampan dalam pendekatan Madani, perbincangan itu juga merangkumi komitmen GLIC dan GLC untuk meningkatkan kemampanan industri sawit serta memacu tenaga boleh diperbaharui.
“Saya juga mengarahkan GLIC dan GLC, sebagai majikan dan perniagaan yang bertanggungjawab, untuk memastikan penyediaan pekerjaan yang bermaruah, pembangunan vendor dan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) tempatan serta menyumbang kepada program kemasyarakatan, terutamanya pembasmian kemiskinan.
“Ini adalah selaras dengan elemen ihsan dalam pendekatan Madani,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini. – Malaysiapost