Henti jadi ejen penyebar berita tidak benar
MENJAGA ukhuwah itu adalah satu kewajipan dan ianya perlu dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh semua umat Islam.
Teks khutbah Jumaat bertajuk bertajuk ‘Fitnah Meruntuhkan Ukhuwah’ Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini, menegaskan Islam adalah agama persaudaraan yang amat mementingkan ukhuwah dan kasih sayang sesama insan.
Ukhuwah yang kukuh yang terjalin di antara umat Islam adalah berlandaskan tauhid kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 bermaksud:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Bagi menjaga ukhuwah, agama yang mulia ini mengajar umatnya untuk sentiasa menjaga diri daripada menyakiti orang lain sama ada dengan lisan atau pun perbuatan.
Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘Anhu, Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kamu saling membenci, janganlah kamu saling berdengki, janganlah kamu saling bermusuhan, dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara, dan tidak boleh bagi seorang Muslim meninggalkan (tidak bertegur) saudaranya lebih daripada tiga hari.” (Riwayat al-Bukhari).
Punca utama yang boleh mengakibatkan runtuhnya ukhuwah Islamiah adalah kesan daripada perbuatan fitnah. Fitnah itu sendiri merupakan satu tuduhan yang dibuat-buat untuk memburuk-burukkan seseorang.
Perbuatan ini adalah salah satu daripada dosa-dosa besar dalam Islam dan akan diazab pelakunya dengan azab seksa yang amat pedih. Fitnah juga boleh dikategorikan sebagai salah satu daripada kesalahan jenayah.
Kanun Keseksaan telah memperuntukkan fitnah sebagai satu kesalahan jenayah yang pelakunya boleh didenda dan dipenjara jika sabit kesalahan.
Perbuatan fitnah ini sengaja dibuat atas dasar memenuhi agenda peribadi individu mahu pun satu-satu kumpulan. Ia bermula daripada hati yang kotor yang dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah ditambah pula dengan pengaruh bisikan syaitan.
Dengan itu, terhasillah satu perbuatan yang amat dibenci dalam Islam. Apabila diri menjadi jauh daripada Allah SWT, akan wujud perasaan hasad dengki dan tidak senang dengan kejayaan orang lain sehingga melahirkan perbuatan fitnah.
Seseorang yang membuat fitnah biasanya akan berasa senang hati dan menjadi satu kejayaan bagi dirinya apabila orang yang difitnah itu dilihat jatuh terduduk dan hidup dalam kegagalan.
Di zaman moden ini, fitnah terlalu mudah dan cepat untuk disebarkan. Jikalau dahulu sesuatu berita agak lambat untuk menjadi buah mulut masyarakat, kini tidak dapat disangkal lagi segalanya semudah hanya di hujung jari sahaja.
Kemunculan pelbagai bentuk media secara digital berasaskan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Telegram dan sebagainya telah memberikan banyak manfaat kepada masyarakat.
Namun disisi yang berbeza, media-media sosial itu telah disalah gunakan sehingga menjadi medium untuk menyebarkan fitnah.
Ketika kita berinteraksi di media-media sosial tersebut kita perlulah ingat bahawa kita telah mendedahkan diri kepada sebuah dunia yang terbuka dan tanpa sempadan.
Oleh itu, kita perlulah menjaga adab-adab dan berakhlaklah sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Sentiasalah berhati-hati dan menjaga diri daripada membuat dan menyebarkan fitnah.
Ini kerana bahaya fitnah itu akan mengakibatkan kita tidak akan dapat memasuki syurga Allah SWT. Perlu diingat bahawa membuat dan menyebarkan fitnah itu mengundang kepada perpecahan dan dapat meruntuhkan ukhuwah.
Kejinya perbuatan fitnah ini kerana ia menjadi punca kepada timbulnya salah faham, pertengkaran dan pergaduhan sehingga menyebabkan suami isteri bercerai-berai, hubungan adik beradik dan saudara mara menjadi renggang, rakan bermusuhan, kehidupan masyarakat menjadi tidak tenteram, dan seumpamanya.
Semuanya dapat dibuat hanya dengan satu perkhabaran yang direka-reka sahaja. Lihatlah, bagaimana hubungan suami isteri yang telah dijaga dengan baik dan hidup dalam keadaan yang harmoni dapat diruntuhkan hanya dengan satu fitnah sahaja.
Adik beradik yang sama-sama membesar dan saling berkongsi kisah suka dan duka menjadi renggang hubungannya dan berlaku pergaduhan hanya dengan satu fitnah sahaja.
Saudara mara yang kuat hubungan persaudaraan mereka, saling ziarah menziarahi dan selalu bertanya khabar akhirnya tidak bertegur sapa hasil daripada satu fitnah sahaja.
Rakan-rakan yang menjadi tempat bertukar-tukar cerita dan melakukan aktiviti bersama-sama bertukar menjadi musuh akibat daripada satu fitnah sahaja.
Begitulah besarnya bahaya fitnah yang dapat meruntuhkan ukhuwah sesama umat Islam.
Ayuh, marilah kita semua mendidik diri kita, keluarga kita dan umat Islam seluruhnya dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang dapat meruntuhkan ukhuwah ini iaitu membuat dan menyebarkan fitnah.
Berhentilah daripada menjadi ejen penyebar berita-berita yang tidak benar. Apa yang paling penting, sekiranya kita mendapat sesuatu khabar berita tentang seseorang, janganlah terus mempercayainya, selidikilah dahulu agar kita tidak menyesal di kemudian hari nanti. – Malaysiapost