Isham Jalil pindah ke Umno Bahagian Putrajaya
KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil secara rasmi berpindah keahlian parti ke Bahagian Umno Putrajaya.
Menerusi kenyataan di Facebook, Isham berkata, beliau sebelum ini merupakan ahli Umno cawangan Pekan Sungai Pelong, Bahagian Sungai Buloh akan menyertai cawangan Bunga Matahari.
Katanya, perpindahan itu dilakukan selepas berbincang dengan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Saya juga telah maklumkan kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau telah merestukan perpindahan saya ini,” katanya.
Isham berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau tinggal di kuarters kerajaan selama beberapa tahun di Putrajaya dan memutuskan untuk tinggal di sana sehingga ke hari tua.
“Kedua-dua anak saya pun bersekolah di Putrajaya. Kini anak saya yang kedua masih bersekolah di Presint 8, Putrajaya dan setiap pagi dan petang hari bersekolah saya ke Putrajaya untuk menghantar dan mengambilnya dari rumah ke sekolah dan kembali.
“Saya ada sebidang tanah di Putrajaya yang saya dapat dan beli semasa saya bekerja dalam kerajaan dahulu dan dalam masa yang terdekat ini saya dan keluarga akan berpindah semula ke Putrajaya dan bermastautin di sana insya-Allah sehingga hari tua,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Umno cawangan Pekan Sungai Pelong dan Bahagian Sungai Buloh kerana telah berjuang bersama-samanya. – Malaysiapost